Aku dilahirkan dengan rupa paras yang cantik. Kulitku putih seperti salji dan fizikalku sempurna tanpa cela. Sekuntum bunga mawar kuning lembut menambahkan lagi seri pada penampilanku. Sesiapa sahaja yang melihat aku pasti tidak berhenti-henti memuji aku.
Namun begitu, aku selalu berasa kesunyian dan tidak disayangi. Walaupun ramai yang menyukai aku tetapi mereka hanya singgah sebentar kemudian berlalu. Aku tertanya-tanya sendiri. Apakah yang tidak kena pada diriku? Kenapa semua orang menjauhkan diri daripada aku sebaik-baik sahaja mereka menghampiri aku?
Bukan itu sahaja malah kawan-kawan aku juga meninggalkan aku satu demi satu. Ke mana mereka pergi? Kenapa mereka tinggalkan aku? Apa salah aku? Aku menangis mengenangkan nasib diri.
Suatu hari, aku dihampiri oleh seorang kanak-kanak perempuan. Dia menunjuk-nunjuk ke arahku dan berkata sesuatu kepada seorang wanita yang kelihatan sangat bergaya. Mungkin wanita itu ibunya. Wanita itu kemudian menghampiri aku dan memerhatikan aku dengan cukup lama. Aku tidak ubah seperti cacing kepanasan melihat perlakuannya itu.
Tiba-tiba wanita itu menarik aku. Aku tergamam. Aku diletakkan ke lantai. Kaki kanak-kanak perempuan itu kemudian diletakkan ke dalam badanku. Selepas beberapa ketika, dia mengangkat kakinya dan memberikan aku kepada seorang wanita yang selalu menjaga aku sepanjang aku di situ. Aku dimasukkan ke dalam sebuah kotak...
*Soalan paling susah: Kenapakah semua orang menjauhkan diri daripada 'aku' sebaik-baik sahaja mereka menghampiri 'aku'? :)